TERAS 3 :
MEMPERKASAKAN SEKOLAH KEBANGSAAN
KEMENTERIAN Pelajaran memperuntukkan sebanyak RM100 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) untuk pembangunan sekolah kebangsaan (SK), sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).
Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), tumpuan memperkasakan SK akan diberikan kepada sekolah rendah.
Ini kerana sekolah ini mempunyai peranan penting sebagai tapak untuk menyemai serta memupuk perpaduan di antara kaum dari peringkat awal persekolahan.
Bagi meningkatkan kecemerlangan SK, beberapa strategi pelaksanaan telah disusun dalam PIPP.
Kementerian akan menambah 2,626 kelas prasekolah yang melibatkan penyertaan kanak-kanak berumur lima tahun dan ke atas.
Sebanyak 80 peratus daripada kelas ini terletak di luar bandar.
Kelas ini akan menggunakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan sebagai persediaan kepada kanak-kanak untuk memasuki alam persekolahan.
Sebanyak 100 kelas prasekolah pendidikan khas juga adakan diwujudkan.
Bagi memantapkan kepimpinan guru besar dan kualiti guru, latihan mencukupi akan disediakan dan kriteria pemilihan calon pengetua atau guru besar dimantapkan.
Bagi meningkatkan kualiti guru, kementerian akan memastikan calon yang mempunyai watak pendidik selain terlatih.
Bilangan guru pelbagai kaum juga akan ditambah selain memperluas program pensiswazahan guru besar.
SK yang berbudaya cemerlang, akan diwujudkan dengan membangunkan iklim yang kondusif.
Bagi menjayakannya, masalah disiplin akan diminimumkan dengan mewujudkan Jawatankuasa Bertindak di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan kementerian sendiri.
Kementerian akan memastikan semua murid Tahap 1 menguasai 3M selain memperluaskan j-QAF.
Kurikulum pendidikan khas bagi murid bermasalah pembelajaran turut akan dimantapkan.
Selain itu, kementerian akan memperkenalkan program untuk pelajar pintar cerdas dan berbakat.
Turut diperkenalkan adalah bahasa antarabangsa di satu sekolah di setiap daerah.
Bagi menambah baik aktiviti kokurikulum dan sukan, Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan akan dipertingkatkan.
Sistem sokongan turut diberikan perhatian dalam PIPP dengan memantapkan permuafakatan di antara warga sekolah, keluarga dan komuniti.
Selain itu, perkhidmatan pembantu murid di sekolah pendidikan khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi akan diperluaskan.
Turut dibekalkan adalah guru beredar bagi Program Pendidikan Khas, Pendidikan Muzik, bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa-bahasa antarabangsa.
Untuk meningkatkan prestasi akademik SK, kementerian akan memastikannya melepasi standard minimum pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Program latihan guru untuk kelas bercantum, kelas pemulihan khas dan kelas pendidikan khas turut akan diperluas.
Semua murid akan dipastikan tidak tercicir daripada sistem persekolahan.
Kementerian akan menyediakan infrastruktur serta kemudahan asas mencukupi dan berkualiti dengan pelbagai kelengkapan selain menaiktaraf sekolah lama dan kurang selamat.
Selain itu, bilangan sekolah satu sesi bagi sekolah rendah dan menengah akan ditambah dengan menambah bilangan bilik darjah.
Dalam negara yang berbilang kaum ini, SK merupakan wahana terbaik bagi memupuk perpaduan sejak dari peringkat awal persekolahan kanak-kanak.
SK perlu mencerminkan budaya Malaysia, menunjukkan pencapaian cemerlang dari segi akademik, kokurikulum serta pembangunan sahsiah dan mempunyai persekitaran yang kondusif.
Selain itu, budaya kerja positif dan mampu menawarkan program pendidikan berasaskan pelanggan bagi menarik minat ibu bapa dan pelajar dari pelbagai latar belakang, kaum serta agama.