PELAN INDUK PEMBANGUNAN PENDIDIKAN
( PIPP 2006 - 2010 )
MODAL insan berminda kelas pertama merupakan salah satu kunci utama untuk membolehkan negara mencapai Wawasan 2020 yang telah digagaskan.
Merekalah yang akan meningkatkan tahap produktiviti dan daya saing negara dalam mendepani cabaran dan tekanan besar persaingan abad ke-21.
Agenda membina dan memupuk modal insan yang menjadi benih generasi masa depan ini amat bergantung kepada kualiti sistem pendidikan negara.
Justeru Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah dirangka untuk melaksana dan merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia.
PIPP akan menjadi garis panduan yang jelas kepada semua pihak supaya segala dasar, program dan aktiviti pendidikan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan cemerlang.
PIPP juga akan memperkemaskan pelaksanaan serta memantapkan lagi proses pembinaan modal insan secara menyeluruh dan berterusan supaya output yang dihasilkan berupaya memenuhi kehendak tempatan dan antarabangsa.
Seorang kanak-kanak yang memasuki Tahun Satu pada 2005 akan melalui sistem pendidikan kebangsaan selama 11 tahun, setahun di matrikulasi, empat tahun di institusi pengajian tinggi, dan akhirnya akan keluar ke alam pekerjaan pada tahun 2020.
Kelompok itulah yang akan menjadi tenaga kerja, warga negara dan pemimpin pelapis pada masa itu. PIPP akan memastikan negara berjaya menghasilkan modal insan ini mengikut acuan yang terbaik.
Semua itu digariskan dalam PIPP melalui enam teras strategik iaitu Membina Negara Bangsa, Membangunkan Modal Insan, Memperkasakan Sekolah Kebangsaan, Merapatkan Jurang Pendidikan, Memartabatkan Profesion Perguruan, dan Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan.
Enam teras strategik PIPP melangkah ke hadapanPELAN Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang akan dijadikan garis panduan pembangunan pendidikan negara secara menyeluruh bagi tempoh lima tahun untuk membangunkan sekolah kebangsaan (SK) sebagai aliran perdana tanpa meminggirkan sekolah aliran lain. Bagi menghasilkan pendidikan berkualiti untuk semua, Kementerian Pelajaran (KPM) telah mengenalpasti dua pendekatan utama iaitu memastikan rakyat mendapat peluang pendidikan yang adil dan saksama sekali gus menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M). Pendekatan kedua pula ialah memberi perhatian khusus ke atas sekolah yang mencapai tahap cemerlang, bukan sahaja bagi memastikan ia mempertahankan kecemerlangan itu malah mampu meningkatkannya ke tahap yang lebih tinggi. Sesuai dengan hasrat itu, KPM telah mengenalpasti enam teras strategik bagi memperkukuhkan pendidikan negara dalam tempoh lima tahun sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Teras pertama yang akan dilaksanakan adalah membina negara bangsa melalui pendidikan bertujuan melahirkan warganegara dari awal persekolahan dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta menjunjung warisan budaya dan kesenian bangsa. Hasrat berkenaan akan dicapai dengan memperkasakan bahasa Melayu, meningkatkan disiplin pelajar, menggiatkan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan menggiatkan aktiviti kokurikulum dalam sukan. Pembangunan modal insan merupakan teras kedua di bawah PIPP yang akan memberi tumpuan kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar bagi melahirkan tenaga kerja yang kompeten dalam sains dan teknologi, inovatif, kreatif serta boleh dipasarkan. Teras ketiga ialah memperkasakan sekolah kebangsaan (rendah dan menengah) agar sekolah-sekolah itu menjadi pilihan rakyat. Selaras dengan usaha itu, KPM akan melengkapkan SK dengan kemudahan pendidikan yang mencukupi, berkualiti, terkini dan guru terlatih mengikut opsyen serta bilangan staf sokongan mengikut keperluan. Seterusnya, sebagai teras keempat, KPM akan berusaha merapatkan jurang pendidikan dengan membangunkan infrastruktur dan kemudahan khususnya diluar bandar seperti Sabah dan Sarawak. Di bawah teras keempat itu juga, KPM akan memperbanyakkan bantuan kepada pelajar miskin, keperluan khas, kumpulan minoriti, mengurangkan jurang digital serta menempatkan guru terlatih. Teras kelima ialah memartabatkan profesion keguruan bagi memastikan profesion itu dihormati dan dipandang tinggi sesuai dengan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam pembinaan generasi masa depan. Sebahagian daripada usaha itu ialah menaik taraf maktab perguruan kepada institut pendidikan guru bagi meningkatkan kelayakan guru ke peringkat ijazah. Manakala teras terakhir di bawah PIPP ialah melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan dengan membentuk bahagian kecemerlangan sekolah berasaskan akademik, kokurikulum dan sukan atau bidang-bidang khusus yang lain. Sekolah yang terpilih akan dirangkaikan dengan institusi ternama tempatan dan luar negara dengan menawarkan pelbagai peperiksaan peringkat antarabangsa seperti International Baccalaureate serta dijadikan sekolah contoh. PIPP yang dirangka KPM turut mengambil kira jurang dan cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan Wawasan 2020 dapat dicapai. Selaras dengan itu, KPM berhasrat membangunkan modal insan dengan ciri masyarakat bangsa Malaysia, memastikan akses, ekuiti dan kualiti tunjang agenda pendidikan diteruskan serta merintis dan menerajui perubahan bagi melonjak sistem dan institusi pendidikan ke tahap dunia.
|
Pencapaian dalam mengatasi jurang pendidikanPEMBANGUNAN pendidikan bermula zaman Dasar Pembangunan Negara hingga zaman Dasar Wawasan Negara berjaya mencapai banyak kemajuan khususnya dalam menyediakan infrastruktur, kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. Strategi meningkatkan peluang pendidikan berjaya mencapai sasaran namun pada masa yang sama, kementerian sentiasa peka dan prihatin terhadap perubahan yang berlaku bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan menghasilkan modal insan mengikut acuan sendiri. Kementerian turut meningkatkan akses dan ekuiti dalam sistem pendidikan yang ditunjukkan melalui kadar penyertaan iaitu 96 peratus untuk sekolah rendah, 84.4 peratus sekolah menengah rendah manakala sekolah menengah atas 71.1 peratus pada tahun 2005. Dari segi pencapaian akademik, para pelajar menunjukkan pencapaian cemerlang melalui kajian antarabangsa, Trends in International Mathematics and Science Study berkaitan Sains dan Matematik. Melalui kajian yang sama tahun 1999, Malaysia menduduki tempat ke-16 tetapi kajian terbaru mendapati Malaysia mencapai tempat ke-10, sekali gus mendahului 40 negara maju lain seperti United Kingdom, Amerika, Australia dan New Zealand. Selain itu, kementerian terus berusaha menyediakan pendidikan khas kepada golongan kurang upaya (OKU) dan sehingga tahun lalu, kementerian membina 28 buah sekolah rendah pendidikan khas dan empat buah sekolah menengah pendidikan khas. Usaha ini termasuk program pendidikan khas integrasi di sekolah harian bagi membolehkan lebih ramai OKU mendapat pendidikan formal. Program ini meningkat daripada 564 pada tahun 2000 kepada 973 pada tahun lalu atau 72.5 peratus. Tempoh yang sama, lebih ramai pelajar OKU ditempatkan iaitu daripada 10,188 kepada 18,335 orang. Dalam tempoh 15 tahun lalu, pendidikan teknik dan vokasional mengalami perubahan ketara apabila tahun 1990 hingga 1995, sekolah vokasional bertambah daripada 57 kepada 69 buah. Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, kementerian memperkenalkan ICT dalam pendidikan meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan guru, termasuk memperkenalkan projek ICT melalui pembekalan komputer sebagai aktiviti utama penyediaan infrastruktur ICT. Usaha itu termasuk memperkenalkan projek perintis Sekolah Bestari yang menekankan penggunaan ICT sebagai pengupaya pedagogi dan pengurusan sekolah. Ia bermula tahun 1999 hingga 2008 di 88 sekolah. Schoolnet menjurus kepada penyediaan prasarana jalur lebar bagi capaian internet di semua sekolah dan hasilnya, 9,285 sekolah dirangkaikan dan projek MySchoolNet yang menekankan kepada pembudayaan internet dalam pembelajaran harian. Projek makmal pengkomputeran membolehkan 5,037 sekolah dilengkapi 133,000 komputer sehingga tahun lalu. Pada masa yang sama, TV pendidikan tetap diteruskan bagi membantu pembelajaran di sekolah. Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris diperkenalkan tahun 2003 dan pengajaran subjek ini dilengkapi kemudahan komputer riba, projektor dan pencetak. Kementerian akan memperkemas penyediaan bekalan elektrik sekolah luar bandar yang pada masa ini 10.1 peratus masih tiada bekalan elektrik 24 jam. Begitu juga dalam penyediaan bekalan air bersih kepada 1,517 sekolah rendah dan 68 sekolah menengah. Selain itu kementerian juga akan memberi perhatian kepada jurang pencapaian yang melibatkan 68 sekolah rendah dan menengah menumpang sekolah lain, 858 sekolah rendah dan 748 sekolah menengah mengamalkan dua sesi, serta 5,951 sekolah rendah dan 870 sekolah menengah berusia lebih 30 tahun yang perlu diselenggara. Masalah lain termasuk kemudahan makmal Sains yang tidak lengkap, penyertaan rendah pelajar dalam sistem persekolahan di peringkat menengah dan murid sekolah rendah yang masih lemah menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Masih wujud murid meninggalkan persekolahan, pencapaian yang masih kurang memuaskan di kalangan pelajar OKU, anak orang Asli dan kaum Penan di Sarawak dan kekurangan guru terlatih dalam subjek kritikal terutama kawasan pendalaman serta terdapat guru kontrak dan tidak terlatih. Isu-isu lain yang masih wujud ialah kepimpinan sekolah yang masih tidak berfungsi sepenuhnya, keupayaan sekolah yang terhad, persamaan layanan kepada semua sekolah (biarpun keperluan sekolah tertentu berbeza), keselamatan sekolah yang masih belum terjamin, struktur organisasi kementerian yang masih tidak setara, sistem penyampaian khususnya pemberian bantuan yang belum efisien dan sistem maklumat yang menyeluruh serta tidak bersepadu. Pada keseluruhannya, sistem pendidikan negara memerlukan perubahan kepada pendekatan yang lebih bertepatan dengan keperluan setempat. Apa yang pasti, jurang pendidikan masih berlaku dan akan dapat dikurangkan dengan penyediaan asas secara berterusan dan pada masa yang sama, kementerian perlu merancang untuk melonjak sistem pendidikan ketahap yang lebih tinggi.
|
Peruntukan pembangunan pastikan pelanberjalan lancarSEJUMLAH RM23.198 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan pendidikan berjalan lancar. Peruntukkan tersebut disokong peruntukkan belanja mengurus yang diberikan setiap tahun, akan digunakan oleh KPM bagi membiayai 17,179 projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) sebagaimana dirangka dalam PIPP dan diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2006. Antara projek utama yang akan dijalankan oleh KPM di bawah RMKe-9 ialah penyediaan prasarana pendidikan rendah dan menengah termasuk pembinaan sekolah baru. Penyediaan prasarana pendidikan rendah melibatkan kos RM4.1 bilion bagi membina 13,000 bilik darjah tambahan dengan 68 peratus daripadanya terletak di luar bandar. Ia juga bertujuan menambah bilangan sekolah satu sesi daripada 86 peratus kepada 90 peratus dan mengurangkan saiz kelas daripada 31 murid kepada 30 murid menjelang 2010. Bagi pendidikan menengah pula, sejumlah RM4.5 bilion diperuntukkan melibatkan program mengurangkan kesesakan bilik darjah, keciciran dan meningkatkan penyertaan pelajar dalam program pendidikan. KPM akan menyediakan lebih 10,000 bilik darjah dengan 57 peratus daripadanya terletak di luar bandar manakala sekolah satu sesi akan ditambah daripada 65 peratus kepada 70 peratus serta saiz kelas dikurangkan daripada 32 pelajar kepada 30 pelajar menjelang 2010. Sebanyak RM327.3 juta pula diperuntukkan bagi meluaskan program prasekolah melalui penambahan sejumlah 3,143 kelas di 2,626 sekolah termasuk sekolah pendidikan khas dengan 80 peratus atau 2,436 daripadanya di luar bandar. Dengan penambahan itu, KPM menjangkakan sebanyak 76,000 kanak-kanak berumur lima tahun ke atas berpeluang mendapat pendidikan menjelang 2010. Selain itu, kementerian juga berusaha menyediakan lebih banyak pilihan bidang kepada pelajar yang mempunyai kebolehan, minat, bakat dan kecenderungan. Ia melibatkan pembinaan tiga buah sekolah sukan, dua sekolah menengah teknik, 15 sekolah bantuan penuh dan dua sekolah seni yang merupakan projek rintis. Kurikulum sekolah juga akan dikemaskini di bawah RMKe-9 agar sesuai dengan tahap perkembangan murid terutama di peringkat rendah. KPM juga akan menyediakan pilihan lebih banyak kepada pelajar yang kurang berminat dalam bidang akademik dengan memperluaskan penawaran mata pelajaran vokasional (MPV) kepada 22 dan menambah jumlah bengkel sebanyak 480 buah. Bagi meningkatkan akses pelajar luar bandar dan berpendapatan rendah, KPM akan menyediakan lebih banyak asrama baru dan membaiki asrama lama melalui 21 projek bagi menempatkan 73,440 penghuni. Melalui usaha pembestarian sekolah, KPM akan menaiktaraf semua sekolah dengan mengambil kira infrastruktur, akses jalur lebar SchoolNet, TV pendidikan, Program PPSMI serta pelbagai inisiatif ICT yang lain. Penambahan kolej matrikulasi sebanyak empat buah akan dibuat bagi menempatkan 12,000 pelajar berdasarkan kepada pertambahan permintaan terhadap program berkenaan yang dianggarkan sekitar 10 peratus setahun. Pembinaan rumah guru yang baru bagi menggantikan rumah lama dan daif turut diberi keutamaan terutama bagi sekolah di luar bandar, pedalaman dan bandar besar. Sepanjang tempoh lima tahun rancangan, sejumlah 4,322 unit rumah guru dilengkapi kemudahan perabot asas akan dibina dengan 80 peratus atau 3,438 daripadanya diluar bandar. Antara lain, kemudahan di pejabat pelajaran daerah dan negeri akan dipertingkat bagi memantapkan lagi tahap kecekapan dan keberkesanan sistem pentadbiran pendidikan, sistem pemantauan, penilaian, kurikulum, pentaksiran, personel, maklumat, komunikasi, penyelidikan, pembangunan, kewangan dan infrastruktur. |